THE CONCEPT OF CIVIL MILITARY RELATION


BINCANGKAN PERDEBATAN MENGENAI KONSEP HUBUNGAN TENTERA MASYARAKAT (CMR) DAN BAGAIMANA PERDEBATAN KONSEP TERSEBUT DIAPLIKASIKAN DALAM KONTEKS DUA NEGARA YANG MEMPUNYAI STRUKTUR POLITIK, SOSIAL DAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA YANG BERBEZA.


PENDAHULUAN

            Hubungan tentera-masyarakat telah berlaku sejak wujudnya konsep bernegara yang mana negara dan rakyat mendapat perlindungan keselamatan dari tentera. Sejarah hubungan ini boleh ditemui di dalam catatan oleh Sun Tzu (The Art of War) dan Clausewitz (On War). Kedua-dua pemikir ini berpendapat organisasi tentera adalah ‘servants of the state’. Organisasi tentera di lihat sebagai satu kemestian bagi menjamin keselamatan rakyat, kedaulatan negara dan ‘survival of the states’. Maka itu ketumbukan tentera dilengkapi dengan peralatan perang yang berdaya musnah dan anggota-anggotanya di latih untuk berperang. Negara yang kuat lagi disegani diwakili oleh ketumbukan tentera yang kuat sama ada angkatan daratan, laut dan udara. Organisasi tentera di lihat sangat tersusun, lengkap dan berupaya menjalankan tugas dengan cekap.  Selain dari Sun Tzu dan Clausewitz, pendapat Samuel Huntington dalam bukunya ‘The Soldier and the State (1957) yang lebih terkini sangat terkenal dan sering diperdebatkan. Huntington melihat keperluan kawalan pemerintah awam dalam hubungan tentera-masyarakat Amerika Syarikat semasa Perang Dingin.

Hujah Huntington di dapati ada kebenaran dan keperluanya di sesetengah negara. Hubungan tentera-masyarakat dilihat bukan dalam konteks ‘servants of the state’ tetapi menentang kerajaan sedia ada. Perhubungan negatif ini berlaku kerana beberapa sebab. Antaranya pembangunan organisasi ketenteraan di dapati tidak selari dengan pembangunan kerajaan yang mentadbirkan negara. Dalam kes-kes tertentu, kerajaan memerintah di lihat tidak mampu memerintah  negara dan mengurus keperluan rakyat dengan baik. Dalam masa yang sama, kerajaan juga di lihat tidak mentadbirkan organisasi tentera dengan baik. Sebaliknya pula dari perspektif rakyat, organisasi tentera di lihat mampu mentadbirkan negara. Ketidakseimbangan ini telah menyebabkan berlakunya rampasan kuasa. Tentera yang memiliki kuasa atas senjata yang dimiliki (cohesive power) dan anggota yang terlatih bertindak menggulingkan kerajaan sedia ada. Maka itu, Huntington menghujah akan keperluan pemerintah mengawal kuasa tentera atau profesionalism.

Bagi membincangkan topik ini, isu-isu perdebatan yang diutarakan oleh Huntington akan dibincangkan satu persatu. Di akhir perbincangan setiap isu, perbincangan berkaitan aplikasi kepada dua negara akan yang berbeza struktur politik, sosial dan negara bangsa akan dibuat. Antara isu-isu yang sering diperdebatkan ialah peranan tentera semasa aman, apakah ukuran pemisah antara tentera dan kerajaan memerintah, Adakah tentera perlu dikecualikan dari politik, dan kuasa autonomi tentera

KONSEP HUBUNGAN TENTERA-MASYARAKAT

Teras utama kepada idea hubungan tentera-masayalat ialah ‘tahap profesional’ organisasi ketenteraan dan awam. Kedua-dua organisasi memiliki kepakaran, tanggungjawab dan budaya masing-masing atau tersendiri. Dalam masa pihak awam ingin tentera hanya fokus kepada tanggung jawab mereka sahaja. Huntington (1957) mengaitkan sikap profesional dengan ‘kawalan awam yang terjurus’. Huntington menggariskan empat elemen profesioanl tentera iaitu (1) A high level of military professionalism and recognition by military officers of the limits of their professional competence; (2) The effective subordination of the military to the civilian political leaders who make the basic decisions on foreign and military policy; (3) The recognition and acceptance by that leadership of an area of professional competence and autonomy for the military; and (4) As a result, the minimization of military intervention in politics and of political intervention in the military.


PERBINCANGAN: ISU-ISU PERDEBATAN HUNTINGTON

1.         Organisasi Tentera: Semasa dan Selepas Perang Dingin.

            Bagi Huntington, persekitaran Perang Dingin atau adanya ancaman ke atas kedaulatan negara, memerlukan sesebuah negara memiliki satu angkatan tentera yang besar dan kuat dalam masa aman. Semasa perang dingin, keperluan memiliki organisasi ketenteraan yang besar dan kuat kepada sesebuah negara tidak dipertikaikan kerana impak perang dingin. Perang dingin telah menyebabkan wujudnya istilah politik seperti cegah rintang, perlumbaan senjata, perimbangan kuasa, uni-polar, dwi-polar dan lain-lain lagi (Nielsen & Snider, 2009). Oleh sebab itu setiap negara berlumba-lumba untuk memiliki organisasi tentera yang kuat bagi mempertahankan diri dari ancaman semasa perang dingin. Maka, selepas perang dingin berakhir, adakah organisasi tentera yang besar masih diperlukan? Lebih-lebih lagi kepada sebuah negara kecil dan sedang membangun yang mana pembangunan negara adalah lebih penting. Kini, Perang dingin telah menjadi satu sejarah tetapi para strategis berpendapat organisasi tentera masih diperlukan kerana wujudnya ancaman kepada keselamatan negara. Ini kerana pemahaman kepada ancaman keselamatan yang disebabkan oleh serangan negara ke atas negara masih ada pada ketika itu. Susulan dari berakhirnya  Perang dingin pada akhir tahun 1991, terdapat negara-negara yang mula mengurangkan perbelanjaan ketenteraan tetapi sebaliknya pula terdapat juga negara-negara yang meningkat perbelanjaan ketenteraan.

Pada abad ini, pemahaman kepada ancaman keselamatan telah berubah iaitu bukan lagi disebabkan oleh serangan dari negara lain tetapi ancaman dalam bentuk yang baru.  Ancaman alaf baru bukan lagi dalam bentuk ketenteraan tetapi disebabkan oleh keganasan bentuk baru seperti serangan pengganas, serangan siber dan fenomena alam (Owens, 2011). Isunya, adakah organisasi tentera masih relevan? Menurut Collins (2009), logiknya masih relevan tetapi memiliki satu ketumbukan tentera yang besar dan kuat mungkin tidak lagi relevan . Ini kerana kerajaan terpaksa memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi satu tujuan yang kabur. Sebaliknya pula berlaku, semakin tidak ada ancaman, organisasi tentera semakin dibangunkan. Bagi Malaysia, dek kerana kurang kemampuan, maka peruntukan bagi membangun angkatan tentera tidak lah terlalu besar tetapi memadai. Proses pemodenan dan pengecilan tentera Malaysia bukanlah disebabkan oleh dasar baru tetapi disebabkan oleh penukaran spektrum ancaman dari bentuk tradisional kepada bentuk baru. Tetapi proses pengecilan digantikan dengan peralatan yang lebih moden. Dalam Rancangan Malaysia ke-8, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah   13% bagi sektor keselamatan di mana 10.2% (17b) untuk pertahanan dan 2.8% (4.7b) untuk Kementerian Dalam Negeri. Jumlah peruntukan ini menurun dalam Rancangan Malaysia ke-9 di mana kerajaan memperuntukkan hanyalah 10.6% dari 200b iaitu terdiri daripada 7.6% (15b) untuk pertahanan dan 3% (6b) untuk Kementerian Dalam Negeri.

Hakikatnya, di Malaysia, isu hubungan tentera-masyarakat tidak menjadi masalah kepada rakyat. Tetapi ia di lihat sebagai pesaing oleh penjawat-penjawat awam yang lain. Maka isu-isu seperti mempertikaikan jumlah gaji dan jawatan sering diperkatakan. Penjawat-penjawat awam menjadi tidak senang apabila terdapat jawatan-jawatan penting ditawarkan kepada pesara-pesara tentera. Manakala pada pihak organisasi tentera, di dapati pemerintah tentera sangat memahami situasi dan perasaan penjawat-penjawat awam lain. Maka itu, pada masa ini, tentera di lihat sebagai ‘pandai membawa diri’. Angkatan tentera telah dan akan terus melakukan pelbagai penyesuaian agar dapat berfungsi secara berkesan, agar organisasinya kekal relevan dalam ruang alam ianya beroperasi. Penyesuaian secara bijak dirintis demi memastikan ia tidak berakhir sebagai dinosaur yang pupus ditelan zaman”.Usaha gigih tentera membantu masyarakat di bawah Strategi Lautan Biru adalah satu spektrum baru yang memberi impak besar kepada hubungan tentera-masyarakat pada masa kini. Antaranya ialah rondaan bersama anggota polis, membina prasarana bagi kemudahan rakyat di kawasan pedalaman dan membantu jabatan penjara.

Sebaliknya pula, negara seperti Indonesia yang membentuk negaranya melalui perjuangan angkatan tenteranya tidak berhadapan dengan masalah bagi membesarkan angkatan tenteranya. Bahkan tentera Indonesia dilihat mendominasi dalam semua hal. Pada satu ketika, kuasa politik Indonesia di kawal oleh tentera. Manakala bagi Malaysia yang membentuk negara melalui diplomasi pemerintah awam, maka tentera menjadi seperti tidak penting. Bahkan ia dianggap sama seperti pasukan-pasukan yang lain.

Bagi Singapura pula agak berbeza. Sungguhpun ia sama dari aspek budaya tetapi struktur politik satu parti membezakan Malaysian dengan Singapura. Tambahan pula, Singapura adalah sebuah negara yang kecil. Di samping itu, Singapura did apati sangat mementingkan faktor keselamatan atau pasukan tenteranya. Bagi Malaysia,  pasukan tentera sama penting seperti pasukan-pasukan yang lain. Maka itu, Kementerian Pertahanan Singapura merupakan kementerian yang paling banyak menerima peruntukan. Pada tahun 2011, kerajaan Singapura telah menambah sebanyak 5.4% kepada peruntukan pertahanan menjadi jumlah keseluruhan ialah Sg$12.08 billion, jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya iaitu Sg$11.46 billion. Manakala peruntukan bagi tahun 2012, dijangka akan meningkat sebanyak 4.3% (Sg$504 million) dari jumlah peruntukan tahun 2011. Tindakan ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti sifatnya sebagai sebuah negara yang kecil dan dikelilingi oleh negara-negara besar yang berlainan struktur sosial, politik dan budaya. Selain itu, sifat pemerintah Singapura yang sering membuat keputusan tanpa memikirkan rasa hormat kepada negara jiran ataupun celupar memerlukan ia terus memperkukuh lagi angkatan tenteranya. Selain daripada itu, Singapura dibayangi oleh bayang-bayang ketakutan sebagai sebuah negara kecil tapi lantang. Justeru, Singapura bertindak terus membangun tenteranya atas dasar cegah rintang dan bersedia sekiranya diserang. Singapura takut dengan bayang-bayangnya sendiri. Tindakan Singapura ini selari dengan tindak Amerika Syarikat yang bertindak terus membesarkan angkatan tenteranya walaupun perang dingin telah tamat. Selain dari perdebatan berkaitan keperluan tentera selepas perang dingin, terdapat juga perdebatan berkaitan peranan tentera selepas perang dingin. Walau apapun perkara dan hujah yang diperkatakan, perkara utama yang perlu diambil kira ialah adakah kuasa negara menjadi semakin berkurang dan adakah mewujudkan kawalan awam di dalam perkhidmatan tentera mampu mengawal organisasi tentera?.

Malaysia memilih untuk membangun organisasi tentera hanya setakat mampu melaksanakan tugas yang diberikan oleh pemerintah awam dan tentera mampu melaksanakan apa yang dikehendaki mereka lakukan. Sebenarnya perdebatan ini tidak selesai begitu sahaja kerana persoalan seterusnya ialah bagaimana pemerintah awam menentukan organisasi tentera melakukan seperti yang dikehendaki? Bagaimanakah menentukan organisasi tentera yang memiliki persenjataan atau kuasa cohesive mengikut telunjuk pemerintah. Hujah yang mengatakan tentera berkecuali dari politik hanyalah satu retorik yang mana tidak seperti yang dipraktikkan. Mungkin tidak salah, jika diandaikan bahawa perdebatan ini adalah ciptaan kerajaan pemerintah awam sendiri kerana takutkan ancaman dari pihak lain, pemerintah awam memilih untuk memiliki organisasi tentera yang ganas bagi mempertahankannya. Masalahnya ialah selepas itu, kita sendiri rasa takut kepada sebuah organisasi yang kita tubuh dan bina. Kita takut kepada sebuah organisasi yang kita hendak dia menjadi kuat supaya keselamatan kita lebih terjamin tetapi dalam masa yang sama kita takut kepadanya. Ia umpama memelihara seekor singa sarkas tetapi dalam masa yang sama prejudis tetap ada.


2.         Bagaimana Mengawal Kuasa ‘Cohesive’ dan Sikap Profesional Tentera?.

            Bagaimana kerajaan awam mengawal atau mengimbangi organisasi tentera supaya dapat mengekang dari bertindak di luar kawalan? Isu ini bukanlah baru kerana pernah dibincangkan oleh Huntington (1981). Beliau berpendapat cara mengawal organisasi tentera ialah dengan mengurangkan tahap profesionalnya. Zakaria dan Harold (1985) berpendapat “the army, whose corporate intererst and prestige were severely affected by several government policies, became disgrunted with the group”. Jawapan ini bukan setakat menjawab isu perdebatan tetapi mengundang perdebatan yang hangat dan membahagikan para strategis dan pemikir politik kepada dua kumpulan (Danapoulos, 1985). Jika dikaitkan dengan negara Malaysia dan Singapura, bagaimana kedua-dua kerajaan yang berbeza dari aspek politik, sosial dan pembentukan negara bangsa  ini mengurangkan tahap profesional tentera masing-masing.

Bagi mengawal tahap profesionalisme organisasi tentera, kerajaan Malaysia telah melantik seorang Menteri penuh bagi mengetuai organisasi ini. Ketiga cabang ketenteraan iaitu tentera darat, tentera laut dan tentera udara berada di bawah pemerintahan menteri yang dilantik. Menteri diberi kuasa bagi mencorakkan organisasi tentera dan menjadi pemutus dalam semua keputusan  yang melibatkan pertahanan. Selain daripada itu, sebuah Majlis juga ditubuhkan iaitu Majlis Angkatan Tentera yang dijadikan sebagai satu badan yang sangat berkuasa dan boleh mencorakkan hala tuju organisasi tentera. Ketua kepada Majlis ini ialah menteri yang dilantik. Bermakna segala keputusan berkaitan ketenteraan khususnya pembelian peralatan-peralatan baru di kawal oleh Majlis Angkatan Tentera yang diketuai oleh seorang menteri. Badan ini seakan-akan menjadi payung kepada keputusan yang dibuat oleh Menteri. Ia menggambarkan bahawa keputusan menteri adalah keputusan sepakat. Inilah barangkali yang dimaksudkan oleh Machiavelli dalam The Prince berkaitan ‘moral politic’ dan ‘licik seperti kancil’ ( ). Di katakan dengan adanya wakil pemerintah awam yang bertindak sebagai ketua dalam badan tersebut, segala rancangan bagi merampas kuasa akan dapat diketahui lebih awal sebelum ianya berlaku. Bagi menguatkan lagi kuasa menteri berkenaan, kelulusan kenaikan pangkat para pegawai atasan juga dikawal oleh ketua badan tersebut. Bahkan dalam sesetengah kes didapati panglima tentera mula kehilangan kuasa autonomi terhadap bala tentera yang dipimpin. Justeru, pemerintah -pemerintah tentera di lihat menjaga menteri berkenaan dengan baik kerana ‘survival’ mereka juga bergantung kepada keputusan menteri berkenaan.

Sebaliknya pula, dalam hal negara Singapura ianya jauh berbeza. Organisasi tentera tidak di lihat sebagai pesaing atau boleh mengancam kerajaan sedia ada. Ini kerana hal-hal keperluan dan kebajikan organisasi tentera dijaga dengan baik sekali. Dalam masa yang sama semua rakyat Singapura diwajibkan berkhidmat di dalam perkhidmatan tentera selama sekurang-kurangnya dua tahun sebagai tanggungjawab seorang rakyat Singapura. Bermula dengan latihan ‘national services’, Singapura sentiasa cuba memberi kesedaran kepada rakyat akan betapa pentingnya memiliki sebuah organisasi tentera yang kuat. Keperluan ini menjadi lebih mendesak dek kerana negara Singapura yang kecil berada di tengah-tengah  negara besar. Selain daripada itu, pesara-pesara tentera di masukkan ke dalam organisasi awam khususnya organisasi industri pertahanan bagi terus berbakti kepada masyarakat. Manakala pegawai-pegawai akan tentera Singapura yang bersara diberi jawatan yang penting dalam organisasi yang berkait rapat dengan pembangunan tentera.


3.         Kuasa ‘Cohesive’ versus Kerajaan yang Tidak Cekap.

Pertama, organisasi tentera sangat berkuasa kerana ciri-cirinya yang terlatih, berdisiplin dan menguasai persenjataan. Dalam sesetengah kes, tentera di lihat sebagai penyelamat rakyat dan dalam masa yang sama, tentera juga di lihat sebagai penghalang kepada pemerintah awam yang gagal memerintah dengan baik. Kegagalan kerajaan memerintah dengan baik telah menyebabkan rakyat memberontak dan negara menjadi kucar-kacir. Justeru, tentera di lihat berupaya menyelamatkan dan meredakan huru-hara dan seterusnya menstabilkan negara. Menurut Finer (2002), banyak kerajaan tidak memiliki skil pentadbiran untuk memerintah dengan cekap dan ini membuka peluang kepada tentera untuk campur tangan. Beliau berpendapat, peluang in tidak wujud di negara-negara yang telah maju. Maka wujud tekanan yang seakan-akan berupa permohonan secara tidak langsung oleh rakyat agar tentera bertindak merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan yang gagal melaksanakan tanggungjawab. Contohnya kegagalan kerajaan Afrika memerintah telah menyebabkan tentera mengambil alih pemerintahan di beberapa buah negara seperti Dahomey, Togo, Congo dan Uganda. Dan contoh terdekat ialah rampasan kuasa di thailand.

Sungguhpun di Malaysia dan Singapura belum pernah berlaku rampasan kuasa tetapi kegagalan kerajaan memerintah pernah membuka peluang kepada organisasi tentera untuk bertindak. Peluang ini terbuka semasa pergaduhan 13 Mei 1969 tetapi tentera Malaysia tidak mengambil peluang ini atas sebab-sebab yang tertentu. Pada masa itu, tentera di lihat sebagai mewakili masyarakat yang majoritinya ialah bangsa Melayu. Maka sekiranya tentera merampas kuasa, ia umpama merampas kausa Melayu itu sendiri. Kebiasaannya, sekiranya tentera mengambil tindakan merampas kuasa, biasanya dengan janji akan menyerahkan kembali kuasa setelah keadaan kacau-bilau dapat ditenteramkan. Maka kuasa akan diserahkan kepada kerajaan sementara atau kerajaan yang akan dilantik. Sungguhpun tindakan tentera merampas kuasa adalah tindakan menyelamati negara dan rakyat dari terus sengsara tetapi kepada pemerintah awam yang digulingkan melihat tentera sebagai bertindak di luar bidang kuasa.

KESIMPULAN

        Adalah agak sukar bagi mengenal pasti peranan yang sesuai bagi organisasi tentera dalam konteks hubungan tentera-masyarakat ketika negara aman damai. Angkatan tentera yang ditubuhkan bagi dengan tujuan mempertahankan negara, mungkin akan digunakan bagi tujuan-tujuan lain dan mungkin juga disalahgunakan. Dengan tafsiran baru kepada ancaman dan keselamatan, telah menjadikan pasukan tentera seperti tidak diperlukan dan mungkin membebankan. Semua perkembangan ini telah menyebabkan dimensi tradisional hubungan tentera-masyarakat  telah berubah.

Maka itu, pasukan tentera pada hari ini terpaksa berusaha keras agar nilai dan keperluan mereka jelas kelihatan. Usaha-usaha ini mestilah di lihat oleh masyarakat atau sesuatu yang berkait dengan keperluan masyarakat ataupun menyelesaikan sesuatu yang dilihat tidak mampu diselesaikan oleh kerajaan. Maka itu, organisasi tentera akan menjadi relevan dan secara tidak langsung akan memurnikan hubungan tentera – masyarakat. Strategi Lautan Biru yang dijalankan oleh pasukan tentera telah membuka mata masyarakat akan kepentingan tentera kepada rakyat dan betapa bergunanya pasukan tentera sekiranya kerajaan memerintah bijak menggunakannya. Kesimpulannya hubungan tentera-masyarakat di Malaysia masih berada dalam ruang yang positif dan isu-isu yang diperdebatkan lebih kepada isu yang dimainkan oleh barat. Malaysia mungkin boleh meniru kaedah yang ditelah dilakukan oleh kerajaan Singapura iaitu memperkukuhkan rasa ‘kekitaan’ atau ‘tentera milik semua’ melalui cara yang efektif.

Rujukan

Collins, J.J. (2009). Fifty years of civil-military relations. Alexandria: Baker

Danopoulos, C. (1985). From Balkonies to Tanks: post-junta civil-military relations in Greece”, Journal of Political and Military Sociology, Vol.13.

Finer, S.E. dan Stanley, J. (2002) The man on horseback: the role of the military in politics: London: Pall Mall

Hungtington, S.P. (1981). The soldier and the state: the theory and politics of civil-military relations. London: Belknap Press

Nielsen, S.C., dan Snider, D.M. (2009).American Civil-Military Relations: The Soldier and the State in a New Era. Baltimore: John Hopkins University Press.

Owens, M.T. (2011). US civil-military relations after 9/11: renegotiating the civil-military bargain. New York: Continum

Raja Nazrin Shah. (2011). Titah DiRaja anjuran bersama MIDAS dan UPNM: Hubungan tentera dengan awam. Di capai di http:// www .isis.org.my/ attachments/ 942_Raja_Nazrin_Hubungan_Tentera_24Nov2011.pdfpada 6 Mac 2012.

Zakaria Hj Ahmad dan Harold, C. (1985). Military – civilian relation in SEA. New York: Oxford Unversity Press

 

Comments

Popular Posts