COMMUNICATION THEORY
DISCUSS THE TERM
‘COMMUNICATION THEORY’. WHAT IS THE SIGNIFICANT (IMPORTANCE) OF USING THEORY IN
CONDUCTING SCIENTIFIC RESEARCH? EXPLAIN HOW A THEORY IS USED AND APPLIED IN A
DOCTORAL RESERACH STUDY.
PENGENALAN
Manusia melakukan pelbagai aktiviti dalam kehidupan
seharian. Aktiviti komunikasi adalah aktiviti yang memonopoli kegiatan dan
mesti dilakukan oleh manusia. Maka itu komunikasi menjadi sangat kompleks dan
penting. Ini kerana keberkesanan setiap aktiviti yang dilakukan bergantung
kepada komunikasi yang dilakukan. Komunikasi boleh berlaku dengan orang yang
dikenal ataupun dengan pihak yang tidak dikenali. Implikasi dari sifatnya yang
sangat kompleks dan tidak tekal, maka ilmu komunikasi banyak dikaji. Oleh kerana
Eropah dan Barat telah menjadi paksi sumber ilmu sejak Perjanjian Damai
Westpalia (1648), maka kajian berkaitan Teori Komunikasi dimonopoli oleh
mereka. Ianya boleh di bahagikan kepada tiga kelompok pengajian iaitu British
Cultural Studies, Frankfurt School of Critical Theory dan Chicago School of
Sociological Studeis. Tiga kelompok inilah yang memonopoli pengetahuan
tentang teori komunikasi yang dihebahkan melalui jurnal masing-masing hingga
abad ke-21. Sungguhpun terdapat idea-idea dari pemikir Timur tetapi ia tidak
terkenal.
PERBINCANGAN: TERMINOLOGI
‘TEORI KOMUNIKASI’
Apakah yang dimaksudkan dengan teori komunikasi? Teori
Komunikasi adalah teori, model atau rajah-rajah yang menjelaskan
fenomena-fenomena komunikasi. Ianya menghurai permasalahan yang wujud dalam
dunia komunikasi melalui penguraian konsep-konsep yang berkaitan, menetapkan
definisi dan pro posisi permasalahan komunikasi. Termasuk mengaitkan
variabel-variabel yang terlibat sebagai ‘element of cause’ yang berakhir dengan
‘means’ atau hasil. Dengan memahami terminologi teori komunikasi dan pelbagai jenis atau bentuk teori komunikasi
beberapa faedah atau kelebihan akan dapat diperoleh. Antaranya, kita akan
berupaya membuat interpretasi yang lebih tepat berkaitan dengan fenomena
komunikasi. Di samping itu juga, kita akan dapat mengenal pasti dan mempelajari
kaedah (tools) bagi memperbaiki kepakaran komunikasi sedia ada.
Kajian berkaitan teori
komunikasi merupakan antara kajian yang terbanyak dan menjadi semakin popular
pada abad ke 21. Peace, Grimes, dan Jansen (2007), menamakan minat kepada teori
komunikasi disebut sebagai ‘revolusi penemuan’. Justeru, pelbagai teori
komunikasi di cipta oleh sarjana. Setiap sarjana mempunyai pemahaman yang
tersendiri terhadap teori komunikasi pada abad 21 kerana revolusi teknologi
komunikasi yang cepat berkembang. Ini kerana setiap sarjana melihat sesuatu
fenomena dari perspektif yang berbeza. Maka berlaku satu masalah akademik dalam
bidang komunikasi yang disebut ‘constestation of idea’. Masalah ini
menjadi lebih rumit, apabila ilmu atau teori komunikasi dicipta oleh sarjana
dari pelbagai bidang yang lain seperti psikologi. Maka itu, komunikasi di
katakan sebagai sesuatu yang ‘susah difahami tetapi mudah dijelaskan’ (Gilson
& Depoy, 2011). Susah difahami kerana ia di asaskan dari perspektif yang
pelbagai. Manakala ‘mudah dijelaskan’ kerana melibatkan kelakuan manusia.
Para sarjana yang datang
dari pelbagai bidang, mungkin mempunyai banyak idea kerana perspektif yang
digunakan adalah berbeza. Ia umpama menaksir komunikasi orang bunuh diri. Ada
kajian yang menemui berlakunya komunikasi bunuh diri (suicidal communication)
sebelum seseorang itu nekad bertindak membunuh diri. Komunikasi bunuh diri
dilakukan dalam pelbagai bentuk sama ada secara lisan ataupun bukan lisan.
Contohnya mesej bunuh diri disalurkan melalui nota bunuh diri, sms, e-mel dan
lain-lain lagi. Manakala sebaliknya pula ada kajian yang mendapati tidak
berlaku langsung komunikasi bunuh diri sebelum seseorang itu nekad membunuh
diri. Ini menunjukkan sifat komplikasi
dalam komunikasi bunuh diri dan sukar difahami. Oleh yang demikian, bidang
komunikasi merangsang para sarjana untuk cuba membuktikan dan meyakinkan pihak
lain kepada teori komunikasi masing-masing.
Ini lah yang menyebabkan bidang komunikasi sangat banyak di kaji dan
sentiasa di eksplorasi.
Selain daripada itu,
memahami teori komunikasi akan membantu kita mengetahui tentang sesuatu yang
belum kita alami atau lihat ataupun melihat sesuatu dengan fikiran yang
berbeza. Contohnya Teori Penembusan Sosial. Melaluinya, kita akan dapat melihat
tingkah laku seseorang dengan lebih baik. Sedangkan sebelum ini hanya
berdasarkan andaian awal secara luaran sahaja. Secara keseluruhannya bolehlah
di katakan bahawa dengan memahami teori komunikasi dan jenis teori komunikasi,
seseorang itu akan menjadi lebih fleksibel, toleransi, lebih terbuka dan
terkini kepada hal-hal yang berkaitan dengan komunikasi. Empat
perspektif/kumpulan yang sering digunakan oleh sarjana bagi menjelaskan
kelompok teori komunikasi ialah positivisme, post-positivisme, interpretif, dan
kritis (LittleJohn, 2008). Hari ini, paradigma teori komunikasi bergerak lebih
cepat kerana komunikasi pada hari ini sangat bergantung kepada teknologi
komunikasi. Pembangunan teknologi komunikasi pada hari ini menyebabkan
sesetengah teori komunikasi menjadi tidak lagi relevan.
Oleh kerana sifatnya yang
kompleks dan sangat berkait dengan tingkah laku manusia, maka proses
pembentukan disiplin komunikasi berbeza mengikut kawasan, bentuk kehidupan, dan
budaya. Contohnya di Barat khususnya Amerika Syarikat, kajian berkaitan teori
komunikasi lebih kepada bentuk kuantitatif yang cenderung untuk mengisytiharkan
komunikasi sebagai salah satu dari bidang sains sosial. Sungguhpun didapati
pendapat sarjana barat tidak sehaluan tetapi bentuk kajian komunikasi kekal
dengan bentuk kuantitatif agak lama. Kebanyakan teori komunikasi barat lebih di
monopoli secara individu oleh sarjana yang mana individu di lihat lebih tekun
dan lebih usaha bagi mencapai misi individu. Lagipun secara puratanya,
teori-teori komunikasi barat menjelaskan komunikasi sebagai tingkah laku yang
tidak dirancang dan berlaku secara semula jadi. Manakala kajian sarjana Eropah
pula lebih dipengaruhi oleh fahaman atau perspektif Karl Max (Marxist) yang
bergantung kepada metod kritikal atau kultural.
Craig (1996) berpendapat
teori komunikasi tidak boleh disatukan dalam bentuk tunggal ataupun sekumpulan teori sahaja kerana ia
mengkaji tingkah laku manusia. Setiap individu tidak boleh berkomunikasi dalam
bentuk yang sama sungguhpun mereka datang dari kelompok yang sama dan berkongsi
nilai-nilai budaya. Justeru Teori-teori komunikasi yang ada akan sentiasa
menunjukkan sifat bidang komunikasi yang sangat luas dan sentiasa dibangunkan
dek fenomena komunikasi yang sentiasa berubah. Ianya menjadi bertambah kompleks
dengan kepesatan teknologi komunikasi yang sentiasa dipertingkatkan dan berubah
dengan cepat.
Teori Komunikasi mempunyai
beberapa ciri penting. Pertamanya, ia dicipta oleh manusia yang bertaraf sarjana.
Manusia yang bergelar sarjana dari pelbagai bidang mencipta teori komunikasi
sebagai satu bentuk penjelasan kepada sesuatu permasalahan atau fenomena
komunikasi yang dijelaskan secara terperinci. Apabila mengkaji tentang sesuatu
fenomena komunikasi, sarjana akan membuat pilihan berkaitan apa, bagaimana,
siapa, di mana dan lain-lain lagi.
Kedua, sungguhpun teori
komunikasi dicipta berdasarkan cara sarjana mengupas fenomena komunikasi tetapi
cara tersebut bukan berdiri sendiri ataupun cara yang bersifat tunggal. Ini
kerana mungkin terdapat cara yang lain bagi menjelaskan fenomena komunikasi
tersebut. Bermakna teori komunikasi yang ditemui, mungkin di tolak atau
dibahaskan oleh sarjana lain yang bersandarkan kepada perspektif yang berbeza.
Tambahan pula sifat teori komunikasi itu sendiri, sentiasa dibangunkan atau
merangsang eksplorasi.
Ketiga, dengan memahami
teori komunikasi; sarjana akan dapat mengagak atau menjangkakan sesuatu di
hadapan. Ini bermakna kegunaan teori komunikasi bukan sahaja terhad kepada
memahami sesuatu fenomena sahaja tetapi ia juga bagi memahami perkara-perkara
lain sebagai persediaan. Contohnya teori komunikasi bukan lisan. Melalui
pemahaman terhadap gerak-geri bukan lisan, kita akan dapat mengagak niat
seseorang yang ingin membunuh diri seperti membuat persiapan membunuh diri.
Dengan memahami teori ini, kita akan dapat mengambil tindakan kawalan lebih
awal bagi membendung hasrat bunuh diri seseorang.
Keempat, teori komunikasi
menjelaskan tingkah laku manusia. Maka teori komunikasi tidak bersifat jumud
atau statik kerana teori komunikasi yang telah menjelaskan fenomena komunikasi
20 tahun yang lalu mungkin menjadi tidak lagi tepat pada masa sekarang. Ini
kerana fenomena komunikasi yang berlaku pada masa dahulu tidak sama dengan fenomena
komunikasi masa kini. Maka itu, di dapati bentuk mesej yang disampaikan oleh
orang bunuh diri berbeza antara dahulu dan sekarang. Jika dahulu orang bunuh
diri akan menulis di atas kertas atau benda lain sebagai mesej bunuh diri
tetapi pada hari ini orang bunuh diri menggunakan medium yang lebih canggih
seperti sms, e-mel dan rakaman video. Kadang-kadang terdapat kes di mana teori
komunikasi yang baru di temui menjelaskan teori lama tidak tepat ataupun salah.
Oleh kerana sifatnya yang bergerak atau sentiasa di uji kaji, maka teori
komunikasi mempunyai paradigmanya sendiri dan dikelompokkan kepada
kumpulan-kumpulan tertentu atau perspektif.
Akhir sekali, teori
komunikasi dikaitkan dengan tindakan susulan. Tindakan berkaitan bagaimana kita
bertindak dan bagaimana kita berfikir ketika berkomunikasi. Ataupun bagaimana
berkomunikasi supaya komunikasi menjadi berkesan. Contohnya teori komunikasi
yang menjelaskan tentang elemen gangguan. Daripada teori komunikasi ini, kita
akan cuba mengurangkan kesan gangguan ketika berkomunikasi supaya komunikasi
kita menjadi lebih berkesan. Ini bermakna teori mengandungi sejumlah arahan
atau panduan bagi bertindak kepada fenomena komunikasi khususnya masalah dalam
komunikasi. Pemahaman ini selari dengan pendapat Little John (2008) yang
menyatakan teori komunikasi bukan sekadar untuk menjelaskan fakta-fakta
komunikasi yang tersembunyi, bahkan menunjukkan jalan atau kaedah melihat
fakta-fakta komunikasi tersebut.
APAKAH KEPENTINGAN
PENGGUNAAN TEORI DALAM MENJALANKAN KAJIAN SAINTIFIK.
Dalam menjalankan sesuatu kajian saintifik khususnya
komunikasi, teori komunikasi sangat diperlukan dan merupakan prasyarat
terpenting kajian. Ini kerana teori tersebut akan menentukan hala tuju kajian
ataupun menguji cuba teori sedia ada dengan fenomena semasa. Dengan adanya
teori dalam sesuatu kajian saintifik, ia akan memberi beberapa kesan yang
signifikan dan lebih impak. Kepentingan teori kepada kajian saintifik boleh di
lihat kepada kekuatan atau faedah penggunaan teori itu sendiri seperti berikut:
Pertama; Teori komunikasi
akan menyediakan maklumat-maklumat dalaman atau panduan asas komunikasi kepada
kajian saintifik di mana maklumat-maklumat tersebut tidak mudah diperoleh.
Dengan memahami teori komunikasi khususnya teori yang sedia terbukti, kita akan
berkata ‘O macam ni’ sebelum memulakan kajian saintifik atau ‘Ahaa betul la’
setelah keputusan kajian di temui. Seperti dijelaskan lebih awal, teori
komunikasi adalah model logik penjelasan fenomena komunikasi atau perkara yang
ingin dikaji. Tambahan pula ia menjelaskan sesuatu yang tidak mungkin akan kita
temui atau perimbang dalam kajian
sekiranya tanpa teori. Ini bermakna, dalam kajian saintifik, teori telah
membantu kita ke arah menemui idea baru ataupun membantu kita melihat sesuatu
dari perspektif yang baru. Contohnya penggunaan teori komunikasi dalam kajian
komunikasi kaunseling adalah faktor penentu kepada ketepatan dan ketekalan
penemuan kajian (Barbara dalam Brown, 2005). Dalam aspek komunikasi, setiap
kajian saintifik komunikasi, teori asas sangat perlu kerana kebanyakan fenomena
komunikasi bukan baru berlaku. Biasanya ia adalah fenomena lama tetapi berlaku
dalam bentuk yang baru. Maka teori yang berkaitan perlu dijadikan sandaran
supaya pemboleh ubah yang digunakan memiliki takat keesahan yang tinggi dan
telah pernah dibuktikan.
Kedua, dengan adanya teori
komunikasi dalam kajian saintifik, pengkaji tidak melakukan pengulangan atau
lebih dikenali dengan ‘reinvent the wheel’ dan seterusnya membuang masa. Memang
tidak dinafikan bahawa teori perlu diulang kaji tetapi setelah terbukti dan
disepakati, ia akan memerlukan masa yang agak lama bagi dikaji semula supaya
sesuai dengan masa. Kebanyakan teori komunikasi yang popular dewasa ini adalah
berasal dari evolusi teori terawal. Contohnya Teori Disonan Kognitif (Festinger, 1957). Teori
Disonan Kognitif menjelaskan tentang kepentingan pemikiran dan perlakuan dalam
menjalinkan hubungan sekiranya perlakuan dalam komunikasi tersebut tidak sama
dengan apa yang ada dalam fikiran. Susulan
daripada teori ini, 10 tahun kemudian barulah terhasil teori lanjutan
kepada teori ini bagi menjelaskan fenomena komunikasi yang lebih rumit iaitu
Teori Penembusan Sosial oleh Atman & Taylor (1973). Satu perkara yang tidak
boleh dinafikan ialah setiap teori mempunyai sejarah kajiannya yang tersendiri.
Ia bermula dengan satu titik kecil, kemudian berkembang mengikut peredaran
zaman. Maka itu sejarah kajian itulah yang akan membantu kajian saintifik pada
masa kini atau pun akan datang. Ini jelas sekali dalam perkembangan teori
komunikasi. Ianya bermula dengan teori asas yang hanya melihat elemen
penghantar, mesej dan penerima. Berdasarkan sejarah kajian dan teori ini, teori
komunikasi dikembangkan dengan menambah pemboleh ubah seperti gangguan, dan
maklum balas. Contohnya teori berkaitan tingkah laku bunuh diri. Pada tahun
1970, Azjen dan Fishbein mencipta Theory
of Reasoned Action berdasarkan penemuan kajian mereka pada ketika itu.
Selepas itu, pengkaji masih meneruskan kajian dalam isu yang sama dan telah
menemui penjelasan lain selepas 15 tahun teori tersebut di cipta. Maka Azjen
mencipta Theory of Planned Behavior pada tahun 1985 bagi menggantikan
teori asal beliau yang dicipta 15 tahun dahulu. Bermakna setiap teori
komunikasi akan mengalami proses yang dinamakan pembangunan, penggabungan dan
berkembang.
Ketiga, teori bertindak
sebagai elemen kawalan kepada pengkaji. Dengan adanya teori pada kajian
saintifik akan dapat meneliti sesuatu pengalaman atau ilmu dalam bidang
tersebut dengan lebih fokus. Bahkan teori juga dapat mengawal pemikiran
pengkaji dengan sistematik serta dapat membantu kajian bagi meneroka penilaian
penemuan kajian saintifik. Di samping mengawal kajian, teori juga dapat
membantu pengkaji merancang matlamat kajian saintifik. Menurut West dan Turner
(2007), “Before applying a theory, the researcher must have a solid
understanding of the theory in question. The researcher must know how theory
defines the variables such as sender, mesej and receiver. In order to help, the
researcher need to have some ideas of where the reserch ‘should’ be going and
why the problems rise”.
JELASKAN BAGAIMANA TEORI
DIGUNAKAN DAN DI APLIKASIKAN DALAM PEMBELAJARAN KAJIAN.
Bagaimana teori digunakan dan di aplikasi dalam kajian?
Bagi menjawab soalan ini, jawapan akan dibuat berdasarkan pada kajian pelajar
yang sedang dilakukan iaitu kajian berkaitan komunikasi bunuh diri. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh para sarjana,
sesuatu teori menunjukkan perhubungan yang signifikan antara pemboleh ubah
bersandar dan pemboleh ubah bebas. Ke arah mengupas aplikasi teori dalam kajian
– bunuh diri, dua teori akan digunakan.
Pertamanya ialah
Teori Komunikasi McCroskey (1971). Asas elemen dalam teori ini ialah penghantar
sumber (source), saluran (channel), penerima (receiver), saluran maklum balas
(feedback channel), dan gangguan (noise). Teori ini membahagikan komunikasi
kepada tiga peringkat iaitu sebelum komunikasi (prior to communication), semasa
komunikasi (communication process), dan selepas komunikasi (after
communication). Di semua peringkat, teori ini melihat elemen gangguan akan
wujud. Pada peringkat sebelum komunikasi, McCroskey (1971) mendapati sumber
akan melakukan proses penyelidikan bagi menyediakan konsep idea, niat dan
memilih maksud. Ini bermakna subjek yang ingin bunuh diri akan melakukan proses
komunikasi terlebih dahulu. Pada tahap ini, subjek akan membuat persediaan
seperti memilih ‘apa yang diucapkan’, ‘bagaimana ingin disampaikan’, ‘’kepada
siapa mesej ingin disampaikan’ dan apakah niat mesej berkenaan. Peringkat kedua
[encoding process] ialah proses komunikasi di mana subjek akan mencipta mesej
dan menghantar mesej. Pada peringkat yang sama juga, penerima pula akan
melakukan proses nyahkod mesej yang diterima. Proses ini melibatkan tindakan
mendengar, melihat, interpretasi, evaluasi dan tindak balas oleh penerima.
Bermakna sekiranya subjek menyampaikan mesej yang mungkin membawa maksud mohon
menyelesaikan masalahnya atau niat ingin membunuh diri, maka penerima harus
bertindak balas dengan segera menyelesaikan masalah atau menasihati subjek
supaya tidak meneruskan niat. Peringkat yang terakhir ialah kesan komunikasi
yang mana mungkin penerima akan berfikir semula dan mengambil tindakan
sewajarnya. Maka berlakulah proses tindak balas. Hakikatnya, pada semua
peringkat tersebut, gangguan akan berlaku dan mungkin menyebabkan komunikasi
menjadi tidak berkesan ataupun gagal langsung.
Dalam kes
peningkatan bunuh diri di kalangan anggota tentera, adalah dianggarkan telah
berlakunya gangguan pada proses komunikasi subjek dengan penerima. Ataupun
adanya kelemahan pada rangkaian komunikasi organisasi yang menyebabkan mesej
tidak difahami atau tidak di tindak balas.
Penghantar mesej merujuk kepada subjek yang membunuh diri dan yang telah
cuba membunuh diri. Manakala penerima pula merujuk kepada Ketua-ketua (Pegawai
Memerintah, Pegawai Pemerintah, Ketua Platun, Platun Sarjan, Ketua Seksyen,
pemimpin bawahan, Pegawai Agama, Pegawai Kaunseling), rakan-rakan, pengawal
pusat tahanan dan ahli keluarga. Manakala saluran pula bermaksud saluran
komunikasi lisan dan bukan lisan yang telah dipilih oleh subjek bagi menghantar
mesej atau niat. Model teori ini seperti di Rajah 1.
Rajah 1: Model Proses Komunikasi
McCroskey
Bagi mengaitkan pemboleh ubah proses komunikasi
interpersonal dengan pemboleh ubah bunuh diri, teori oleh McCroskey akan di
gabungkan bersama dengan teori yang diasaskan oleh Ajzen dan Fishbein (1970).
Pada peringkat awalnya teori ini diberi nama sebagai Teori Reason Action.
Teori ini menjangkakan bahawa tindakan masa hadapan manusia boleh dijangkakan
melalui perangai dan tingkah laku pada sebelumnya. Mereka mendapati bahawa
setiap subjek yang akan membunuh diri akan melakukan komunikasi interpersonal.
Subjek yang sudah tertanggung beban akan berusaha meluahkan beban berkenaan
dengan melontar mesej-mesej komunikasi yang membawa maksud membunuh diri.
Kajian mereka mendapati sesetengah kes, mesej membunuh diri disampaikan secara
terus dan terdapat juga kes-kes yang mena mesej membunuh diri disampaikan
secara berselindung (...posits that a person s behavior can be predicted by
attitudes toward the behavior and subjective norms concerning the behavior as
well as the intention to perform thatb behaviors...). Teori ini digunakan
bagi memahami komunikasi sumber atau subjek yang merupakan pemboleh ubah
terpenting kajian. Menurut Azjen, seseorang yang ingin membunuh diri, akan cuba
membuat hubungan komunikasi dengan orang lain. Mesej komunikasi ini ialah
mereka ingin membunuh diri. Ia dinyatakan sama ada secara terus, atau
terselindung atau pun melalui perbuatan-perbuatan yang tidak disangka.
Sungguhpun demikian, pada tahun 1985,
kajian kepada kes membunuh diri diteruskan. Azjen mendapati dengan memahami
tingkah laku sebelum membunuh diri, subjek boleh dinasihati supaya tidak
mengambil tindakan nekad tersebut. Oleh itu Ajzen (1985) memperkenalkan satu
teori baru iaitu Theory of Planned Behavior. Azjen telah menambah unsur
pengawalan kepercayaan (control beliefs) yang terdiri dari tingkah laku,
subjektif norms, hasrat, dan kawalan tingkah laku. Ajzen mendapati bahawa
seseorang subjek yang ingin membunuh diri akan merancang setiap peri lakunya
termasuk bagaimana cara membunuh diri. Perlakuan ini tidak berlaku secara
spontan ataupun automatik. Subjek akan merancang dan menyusun setiap tindakan
yang diambil. Ini termasuklah melakukan komunikasi dengan orang lain yang
berdekatan atau rapat dengan subjek. Hasrat membunuh diri sentiasa disampaikan
dalam komunikasi tersebut. Begitu juga dengan perkakasan untuk membunuh diri,
subjek akan merancang dan berusaha mencari sesuatu yang berdekatan dan boleh
membantu hasrat untuk membunuh diri. Azjen percaya dengan memahami perancangan
tingkah laku subjek yang membunuh diri, kita akan memahami perlakuan dan pola
petanda yang diberikan. Seterusnya mengambil tindakan-tindakan pencegahan.
B. DISCUSS THE DEVELOPMENT OF INTERPERSONAL COMMUNICATION THEORY
Komunikasi interpersonal boleh didefinisikan sebagai
keupayaan untuk berkomunikasi dengan orang lain dan memahami mereka. Komunikasi
interpersonal ini berlaku apabila dua atau beberapa individu berkomunikasi muka
ke muka tanpa menggunakan perantaraan gajet teknologi. Komunikasi Interpersonal
berlaku atas pelbagai sebab iaitu untuk menyelesaikan masalah,
menyelesaikan konflik, berkongsi maklumat, membaiki persepsi diri atau memenuhi
keperluan sosial seperti ingin menyayangi dan disayangi (Pearson, 2000). Itu
adalah pemahaman tradisi terhadap maksud komunikasi interpersonal. Dek tercipta
teknologi komunikasi, sesetengah sarjana menerima perantaraan gajet dalam
komunikasi interpersonal. Ini menunjukkan perkembangan juga berlaku dalam
maksud komunikasi interpersonal.
Menurut Koerner dan Flyod
(dalam Smith dan Wilsson, 2010), perkembangan komunikasi interpersonal boleh di
lihat dari aspek evolusi perspektif yang digunakan dalam setiap teori. Manakala
Flyod (2009) pula berpendapat, perkembangan dalam komunikasi interpersonal
perlu di lihat aspek bagaimana cara komunikasi interpersonal di konsepkan,
bagaimana ia sepatutnya di kaji kerana ia akan menjelaskan keseluruhan
perkembangan dalam komunikasi Interpersonal. Bagaimana pun Baxter dan Wilmot
(dalam Smith dan Wilson, 2010) berpendapat, perkembangan komunikasi
interpersonal berlaku berdasarkan isu yang dikaji oleh sarjana seperti perubahan
hubungan. Isu yang dikaji sentiasa berubah mengikut masa. Maka seharusnya
perkembangan komunikasi interpersonal berkembang berdasarkan isu. Sungguhpun
terdapat beberapa pendapat tentang bagaimana membincangkan perkembangan teori
komunikasi interpersonal, tetapi jawapan ini akan melihat isu yang menyebabkan
tercipta teori komunikasi interpersonal satu demi satu berdasarkan empat
perspektif iaitu hubungan, interaksi, komunikator dan sejarah.
PERKEMBANGAN TEORI KOMUNIKASI INTERPERSONAL
Terdapat beberapa teori
komunikasi interpersonal yang sering dibincangkan. Bagi tujuan melihat
perkembangan teori komunikasi interpersonal, perbincangan akan melihat enam
teori iaitu Teori Disonan Kognitif (Festinger, 1957), Teori Penembusan Sosial
(Altman & Taylor, 1973), Teori Keperluan Sosial (1958), Teori Pertukaran
Sosial (1959), Teori Pengurangan Ketidakpastian (Berger, 1987), dan Teori
Keperluan Hierarki (1954).
a. Perkembangan dari perspektif hubungan: Teori Disonan Kognitif (1957), dan Teori Penembusan
Sosial (1973)
Terdapat dua teori yang menekankan elemen perspektif
hubungan yang sering dibincangkan iaitu Teori Disonan Kognitif (Festinger,
1957), dan Teori Penembusan Sosial (Atman & taylor, 1973). Perbandingan
kedua-dua teori ini akan menunjukkan perkembangan yang sangat signifikan dari
aspek ‘hubungan’ dalam teori komunikasi interpersonal. Teori Disonan Kognitif
ini dicipta oleh Leon Festinger pada tahun 1957 dan menjadi teori terpenting
dalam kajian psikologi sosial atau sains tingkah laku. Festinger berpendapat
apabila perlakuan kita tidak menyamai apa yang kita percaya, maka mental akan
digunakan sepenuhnya atau tegang. Inilah yang dikatakan disonan kognitif.
Keadaan ini mewujudkan keresahan atau rasa tidak stabil. Justeru, kita akan
bertindak mengubah salah satu sama ada mengubah perlakuan ataupun mengubah kepercayaan.
Takat keresahan atau ketegangan
bergantung kepada kepentingan isu yang di hadapi. Contohnya dalam komunikasi
cubaan bunuh diri, subjek percaya dengan melakukan komunikasi bunuh diri,
masalah subjek akan diberi perhatian dan diselesaikan. Tetapi setelah melakukan
beberapa kali komunikasi bunuh diri tetapi masalah subjek tetap tidak diberi
perhatian. Ini akan mewujudkan disonan kognitif pada subjek. Subjek perlu
merubah kepercayaan ataupun perlakuannya iaitu terus membunuh diri. Dalam kes
cubaan bunuh diri, disonan yang dihadapi sangatlah besar.
Bagi mengatasi masalah
disonan ini, Festinger mencadangkan tiga kaedah hipotesis mental bagi
memastikan kepercayaan dan tindakan selari. Pertama, bagi mengurangkan tahap
disonan, subjek perlu bertanya, berbual ataupun berusaha mendapatkan maklumat
lanjut berkaitan masalah subjek. Dalam hal ini, pihak yang sesuai dihubungi oleh
subjek ialah Pegawai Kaunseling atau Pegawai Agama. Hipotesis kedua, kita akan
rasa tertekan apabila menyedari keputusan yang dibuat kurang tepat atau ada
keputusan lain yang lebih baik. Contohnya subjek yang berada di persimpangan
sama ada mahu meminum racun dengan kuantiti yang banyak atau kuantiti yang
sedikit. Ataupun terjun dari bangunan tinggi atau sederhana tinggi. Ataupun melakukan komunikasi bunuh
diri sebelum nekad bunuh diri atau tidak perlu melakukan komunikasi bunuh diri.
Disonan yang dihadapi oleh subjek adalah sangat besar kerana keputusan
melibatkan nyawa dan tidak boleh berpatah balik atau sudah terlewat jika
menyedarinya kemudian. Hipotesis ketiga, justifikasi minima. Subjek akan cuba
meyakinkan diri sendiri bahawa dengan tindakan meminum racun atau bunuh diri,
orang lain akan menyesal atau bersimpati dengan subjek. Subjek mungkin membuat
justifikasi minima dengan berkata, “bila aku bunuh diri, barulah mereka (pihak
yang menyebabkan masalah) sedar bahawa isu ini serius dan kemudian baru rasa kasihan
kepada aku”. Alasan minima ini digunakan oleh subjek bagi meyakinkan dirinya.
Secara mudahnya, Teori
Disonan Kognitif menjelaskan tentang kepentingan pemikiran dan perlakuan dalam
menjalinkan hubungan Sekiranya perlakuan dalam komunikasi tersebut tidak sama
dengan apa yang ada dalam fikiran, maka mental komunikator mula menolak atau
pasif terhadap hubungan dengan komunikator satu lagi ataupun dikenali dengan
disonan kognitif. Semakin penting dan besar perbezaan perlakuan, maka disonan
kognitif juga semakin besar. Bermakna komunikasi akan di tolak atau dihentikan
sekiranya tidak menemui kesamaan persepsi dengan apa yang berlaku. Bermakna,
hubungan dalam komunikasi interpersonal bergantung kepada elemen ini.
Walau bagaimanapun, 16 tahun
selepas itu sarjana mendapati tidak mungkin menolak komunikasi dengan hanya
disebabkan oleh perbezaan pemikiran atau perlakuan. Ataupun menolak hubungan
kerana tidak untung dalam hubungan tersebut. Lebih-lebih lagi dalam komunikasi
penting. Maka itu, sarjana komunikasi memikirkan bagaimana mengurangkan atau
membuang terus disonan ataupun mendapatkan maklumat yang menyebabkan perbezaan
pemikiran atau perlakuan. Maka itu, Teori Penembusan Sosial (Atman &
Taylor, 1973) dicipta. Teori ini mengupas isu yang sama tetapi ia menekan
perihal bagaimana untuk mendapatkan maklumat dalam hubungan interpersonal yang
diumpamakan seperti lapisan kulit bawang. Teori ini menjelaskan peringkat
maklumat yang akan diperoleh dalam hubungan. Semakin lama hubungan, maka
semakin banyaklah maklumat yang akan diperoleh. Taylor mengumpamakan sebutir
bawang yang mana lapisan bawang adalah tahap atau takat maklumat. Ini kerana
kebiasaannya dalam setiap komunikasi, perkara luaran atau lapisan luaran kerap
didedahkan lebih awal dan pendedahan lapisan berikutnya bergantung kepada
tindak balas pihak komunikator satu lagi. Teori ini juga menjelaskan ‘ranking’
hubungan yang terbahagi kepada tiga iaitu awal, intim dan peribadi. Bermakna,
perspektif hubungan juga telah berkembang jauh yang mana komunikator tidak lagi
bersifat menolak hubungan apabila wujud perbezaan tanggapan. Bahkan berusaha
mendapat lebih maklumat yang diwakili oleh lapisan kulit bawang.
b. Perkembangan dari perspektif interaksi: Teori Keperluan
Sosial (1958), dan Teori Penukaran Sosial (1959).
Terdapat dua teori yang penting dalam kumpulan perspektif
interaksi dalam komunikasi interpersonal. Bagi membincangkan perkembangan teori
komunikasi interpersonal yang tergolong dalam kelompok ini, perbincangan akan
mengupas dua teori yang diasaskan berdekatan iaitu perbezaan hanya satu tahap.
Teori Keperluan Sosial (Schutz, 1958), menjelaskan sikap atau perilaku individu
yang akan mempengaruhi tahap interaksi yang akan dilakukan kemudian. Interaksi
dalam hubungan interpersonal akan ditentukan oleh jenis dan takat keperluan
sosial individu berkenaan. Setiap individu memiliki keperluan sosial yang perlu
dipenuhi, maka ia melakukan komunikasi interpersonal bagi memenuhi atau
mendapatkan keperluan tersebut. Teori ini
hampir serupa dengan teori keperluan Maslow tetapi hanya fokus kepada
keperluan sosial sahaja. Keperluan sosial ini diperoleh memalui interaksi.
Teori ini menjelaskan terdapat tiga keperluan sosial iaitu memberi dan menerima
(affection), keperluan didampingi dan mendampingi (inclusion), dan mempengaruhi
(control). Teori ini lebih kepada usaha mendapatkan sesuatu dan tidak
mementingkan pihak lain.
Para sarjana melihat Teori
Keperluan Sosial lebih bersifat mementingkan sebelah pihak dan komunikasi
menjadi tidak lengkap. Ini selari dengan pembangunan ilmu komunikasi seluruhnya
yang pada awalnya tidak melihat elemen maklum balas. Perkembangan disiplin
komunikasi yang mula mementingkan elemen maklum balas, menyebabkan berkembang
teori awal oleh Schutz. Maka setahun
selepas itu, Thibaut dan Kelly mencipta teori susulan iaitu Teori Penukaran
Sosial (1959).
Teori ini bersandarkan
kepada tiga elemen penting iaitu hasil hubungan, kepuasan hubungan dan
kestabilan hubungan. Thibaut dan Kelly melihat hubungan interpersonal yang
berlaku perlu melihat kepada hasil yang diperoleh dari hubungan tersebut.
Sekiranya hasil yang diperoleh adalah seperti yang diharapkan, maka subjek
berada dalam tahap kepuasan hubungan dan subjek akan bertidak mengekalkan
hubungan yang berlaku. Contohnya, selepas melakukan komunikasi bunuh diri,
subjek mendapati ada tindak balas yang positif oleh penerima. Maka subjek akan
kekal berkomunikasi dengan orang yang sama. Justeru dalam kes bunuh diri,
didapati subjek hanya meluahkan perasaan pada individu tertentu sahaja.
Bermakna subjek puas dengan hubungan yang berlaku. Sekiranya subjek tidak
memperoleh apa yang diharapkan, maka hubungan menjadi tidak stabil dan mungkin
subjek tidak ingin berjumpa atau berhubung lagi dengan individu tersebut. Maka
jalan terakhir ialah nekad membunuh diri.
Sungguhpun teori ini hampir
sama dengan teori Shutltz tetapi berbeza dari aspek usaha mendapatkan maklumat.
Teori ini lebih bersifat menjelaskan perilaku atau tindakan susulan oleh
individu akibat dari interaksi. Ia tidak terhad kepada keperluan sosial sahaja.
Ia bukan sahaja fokus kepada usaha mendapatkan tetapi melibatkan timbal balas
iaitu mendapatkan sesuatu melalui satu proses penawaran berperingkat. Teori ini
melihat komunikasi sebagai satu keperluan oleh komunikator dan ia tidak boleh
dielakkan. Teori ini menjelaskan tentang keperluan interaksi atau pun pandangan
interaksi. Ia mementingkan kepuasan komunikasi oleh kedua-dua belah pihak.
Ataupun keuntungan yang diperoleh dari komunikasi yang dilakukan. Sekiranya
tidak memasukkan diri komunikator, maka komunikasi akan ditamatkan. Teori ini
cuba menjelaskan isu sebab komunikator memaklumkan sesetengah maklumat
berkaitan dirinya kepada orang lain.
Walau bagaimanapun, terdapat
sarjana yang menolak teori ini kerana individu tidak mudah memberi maklumat
pada peringkat awal hubungan. Bermakna pada peringkat awal hubungan tidak akan
wujud hasil hubungan. Individu perlu berkorban dan bersabar hingga ke
pertengahan hubungan barulah mungkin akan dapat maklumat atau hasil. Teori ini
menjadi lebih genting apabila berlaku pada sesetengah masyarakat yang budayanya
sangat tertutup yakni sukar mendedahkan maklumat. Perbezaan yang jelas dapat
dilihat hubungan antara subjek lelaki dengan penerima perempuan. Maka itu, bagi
kes urusan kaunselor, adalah sangat perlu kaunselor yang sama jantina disediakan. Selain itu, sarjana juga menolak konsep
untung rugi dalam komunikasi. Adakah seseorang itu sangat berkira sehingga
setiap perkara perlu dilihat untung rugi. Dalam sesetengah komunikasi
interpersonal, elemen kepuasan tidak wujud sama sekali. Contohnya komunikasi
seorang ketua dengan seorang kakitangan yang membuat salah. Elemen puas tidak
penting.
c. Perkembangan dari perspektif komunikator: Teori Keperluan
Hierarki (1954), dan Teori Pengurangan Ketidakpastian (1987).
Terdapat dua teori yang agak popular yang menekankan
aspek ‘komunikator’ iaitu Teori Keperluan Hierarki (1954), dan Teori
Pengurangan Ketidakpastian (1987). Teori Keperluan Hierarki atau lebih dikenali
dengan Teori Maslow, menjelaskan komunikasi sebagai satu tool atau
instrumen ke arah mendapatkan asas keperluan manusia iaitu komunikator. Maslow
membahagikan keperluan kepada lima kategori mengikut hierarki khusus iaitu
keperluan fizikal seperti air, udara dan makanan; keperluan keselamatan seperti
tempat tinggal; keperluan sosial seperti kawalan; penghargaan diri (self esteem);
dan kesempurnaan diri. Setiap individu mempunyai keinginan yang tersendiri yang
perlu dipenuhi. Keperluan ini akan memotivasikan individu usaha mendapatkan
keperluan dirinya. Manakala tahap keperluan yang perlu dipenuhi ialah tahap
keperluan yang paling asas iaitu bermula dari bawah. Teori Maslow yang
diasaskan pada tahun 1954 membincangkan keperluan asas komunikator. Isu
keperluan asas ini terus dibincangkan selepas Maslow mencipta teori berkenaan.
Teori komunikasi
interpersonal yang menekankan asas komunikator di lihat berkembang lebih jauh
dalam Teori Pengurangan Ketidakpastian oleh Berger. Ia diasaskan pada tahun
1987 kerana teknologi komunikasi di dapati mempengaruhi perilaku komunikator.
Berger melihat keperluan komunikator dari sudut yang lain iaitu keperluan untuk
mempertingkatkan kesan hubungan interpersonal yang akan dilakukan. Pemahaman
akan keperluan seperti ini, didapati tidak wujud dalam teori-teori sebelumnya.
Maka bolehlah di katakan teori Berger adalah teori yang pertama yang membincangkan
keperluan maklumat bagi mengurangkan ketidakpastian. Inilah yang di katakan
satu perkembangan baru dalam komunikasi interpersonal. Ia dibangunkan bagi
menyelesaikan masalah kekurangan maklumat berkaitan komunikator yang akan
dikomunikasikan. Teori ini menggariskan tiga fasa iaitu fasa perkenalan, fasa
peribadi dan fasa ‘exit’. Bermula dengan teori sehala yang tidak ambil tahu
soal penerima; teori berkembang pada keperluan maklumat berkaitan penerima.
Pelbagai isu dan perkara yang ingin kita ketahui berkaitan komunikator
(penerima ataupun penghantar) sebelum melakukan komunikasi interpersonal.
Keperluan ini menjadi lebih genting apabila komunikasi interpersonal berlaku
dalam situasi yang tertekan atau dengan orang yang belum dikenali seperti
perbincangan kelulusan projek, mengurus krisis tebusan dengan pengganas dan
lain-lain lagi. Dalam situasi seperti ini, banyak maklumat yang ingin kita
ketahui sebagai persediaan. Maka teori ini dicipta bagi menyelesaikan fenomena
ketidakpastian terhadap komunikator, sedangkan sebelum ini komunikator tidak
serius diperkatakan. Teori ini mencadangkan tiga strategi ke arah mengurang
ketidakpastian iaitu Strategi Pasif (memerhati), Strategi Aktif
(pertanyaan/pencarian) dan Strategi Interaktif (soal jawab). Teori ini terus dikembangkan
dengan menambah aksiom 8 dan 9. Aksiom kelapan mengambil kira hubungan romantis
dalam fungsi mengurangkan ketidakpastian. Selepas itu Neulip dan Grohskop
(2000), menambah aksiom kesembilan yang mengambil kira harapan yang dibina
sebelum menjalinkan hubungan.
d. Perkembangan dari perspektif sejarah
Komunikasi interpersonal berlaku sejak manusia dijadikan
iaitu komunikasi antara Adam dan Hawa. Tetapi nyatanya kajian ilmiah berkaitan
dengannya adalah masih baru. Kajian terawal berkaitan teori komunikasi
interpersonal mungkin boleh dikaitkan dengan kajian berkaitan retorik dan
persuasif yang berada dalam bidang pengucapan awam. Kajian terawal ini mengupas
bagaimanakah cara terbaik seseorang perucap dapat menyampaikan maklumat kepada
khalayak. Nyatanya sehingga abad ke-20, belum ada lagi fakulti komunikasi di
universiti tetapi kajian berkaitan pengucapan telah lama diadakan yang mana
lebih menjurus kepada ‘ucapan’ dalam aktiviti debat, teater, persembahan seni,
dan pemujukan. Sungguhpun demikian, pada akhir abad ke-20 terdapat dua kelompok
yang cuba mengkaji ‘ucapan’ dalam bentuk yang lebih spesifik. Pertama,
perspektif humanistik yang dikaji oleh Cornell School dan keduanya, perspektif
saintifik oleh Midwestern School (Smith dan Wilson, 2010). Kedua-dua kumpulan
ini yang bertanggungjawab mengasaskan kajian perihal retorik dan pengucapan
yang kemudiannya dikenali dengan ‘komunikasi’ dan kumpulan ini juga yang paling
awal menubuhkan Jabatan Pengucapan dan Jabatan Teater. Dan hari ini, kita
dapati di kebanyakan universiti menggabungkan jabatan komunikasi dengan
jabatan-jabatan lain yang berkait dengan nya seperti jabatan bahasa di UPM atau
pun Jabatan Sains Sosial di UKM.
Tercetusnya Perang Dunia
Kedua, melihat para strategis perang mula membincangkan kesan pengucapan yang
baik kepada psikologi manusia. Maka itu, kita dapati sebaik sahaja perang
tamat, sarjana sosial khususnya pakar psikologi mula melihat kesan pembujukan
dan penolakan di mana mereka cuba
memahami proses atau faktor-faktor yang mempengaruhi interpersonal atau aktor
yang terlibat dalam perang. Dalam masa yang sama juga sarjana komunikasi
mengkaji keberkesanan media massa bagi mempengaruhi dan membujuk yang digunakan
dalam perang saraf semasa perang. Dan susulan daripada itulah model penghantaran
mesej dan model sistem hubungan di cipta.
Pada awal tahun 1960, dunia
mengalami revolusi budaya yang melihat isu hak asasi dan kepentingan kaum
wanita mula menjadi penting. Revolusi ini secara automatik merubah bentuk
hubungan khususnya dalam sesebuah keluarga. Miller (1976) menyatakan bahawa
pada era itu “students themselves began to demand answerr about how to
relate communicatively with their acquantances and close friends, and romantic
partners”. Perkembangan yang menarik dan saya kira yang menjadi titik tolak
kepada perkembangan komunikasi interpersonal ialah gerakan yang dilakukan oleh
sarjana dalam bidang sosiologi dan psikologi, di mana mereka bertindak
berpindah jabatan iaitu dari jabatan psikologi dan sosiologi ke jabatan
pengucapan. Kumpulan ini membawa bersama fahaman sosial sains dan orientasi
post-positivist dalam kajian-kajian yang dilakukan selepas itu yang mana
menumpukan kepada kaedah kognitif bagi memahami perilaku komunikasi. Antara
isu-isu yang menarik minat sarjana-sarjana ini untuk dikaji ialah pembujukan
interpersonal, mesej bukan lisan, tarikan interpersonal, dan lain-lain lagi.
Implikasi dari gerakan ini, kita dapati pada hari ini dan boleh di katakan di
kebanyakan universiti, Fakulti komunikasi mengandung pelbagai jabatan yang
mendukung disiplin sosial sains. Antara sebab yang sering dihujahkan ialah
semua disiplin berkenaan berkait dengan isu kemanusiaan atau komunikasi
kemanusiaan. Maka bagi memudahkan pemahaman, ia diletakkan di bawah satu
fakulti.
KESIMPULAN
Teori Komunikasi ialah teori yang menjelaskan fenomena
komunikasi. Maka itu, teori komunikasi sangat perlu dan penting dalam
menjalankan kajian saintifik. Teori akan sentiasa di rujuk dalam perbincangan,
perbandingan. mengenal pasti dan memahami fenomena lepas. Dengan adanya teori
dalam kajian, kajian yang dijalankan akan lebih fokus dan membincangkan
perkara-perkara yang telah ditetapkan. Di samping itu juga, teori juga sentiasa
dikembangkan atau dipertingkatkan. Di samping itu juga terdapat situasi yang
hanya berlaku pada masa lampau dan ia hanya boleh dijelaskan dengan teori. Maka
untuk memahami masalah yang dialami pada masa lampau, teori diperlukan.
Telah ditegaskan sejak awal
lagi bahawa teori komunikasi sangat terkesan dek pembangunan teknologi
komunikasi. Maka, pembangunan teknologi komunikasi turut mempengaruhi
perkembangan teori komunikasi interpersonal. Begitu juga perkembangan dari
aspek perspektif yang dikupas di atas. Ia turut disebabkan oleh kesan
teknologi. Oleh kerana teknologi yang berkembang terlalu cepat, maka
perkembangan komunikasi interpersonal juga lebih cepat dari teori komunikasi
lain. Teori-teori yang dijadikan contoh perbincangan di atas berkembang atau di
cipta berdasarkan teknologi atau masalah yang dihasilkan oleh teknologi. Maka
itu pemahaman interpersonal yang pada mulanya difahami sebagai bersemuka atau
berhadapan, mula berubah kerana wujud teknologi percakapan maya yang hampir
sama dengan bersemuka. Kesemua ini seakan-akan bergerak selari iaitu pemahaman
konteks barat kerana revolusi teknologi berlaku di barat, dan para sarjana juga
dari barat. Maka perkembangan teori yang berkaitan juga adalah berasaskan
perkembangan ala barat yang mana kebanyakan teori-teori komunikasi
interpersonal di asaskan oleh para sarjana barat.
Rujukan
Adler, R.B., Rosenfeld, L.B., dan Towne, N. (1999).
Interplay: The process of interpersonal communication. Fort Woth: Harcourt
Brace.
Altman, I., & Taylor, D., (1973). Social Penetration:
The Development of Interpersonal Relationships. NewYork: Holt, Rinehart and
Winston
Ajzen, I. 1985. From intentions to
actions: A theory of planned behaviour, ed. J. Kuhi, and J. Beckmann,
Action Control: From cognition to behaviour, pp. 11- 39. Heidelberg:
Springer-Verlag
Ajzen, I., and Fishbein, M. 1970. The prediction
of behavior from attitudinal and normative variables [Electronic
version]. Journal of Experimental Social Psychology 6: 466-487
Beebe, S.A., Beebe, S.J., dan Redmond, M.V. (1999).
Interpersonal communication: Relating to others. Boston: Allyn and Bacon.
Braithwaite, D.O., dan Baxter, L.A. (2008). Engaging
theories in interpersonal communication: Multiple perspectives. London: Sage
Pub.
Brown, S.D., dan Lent, R.W. (2005). Career development and
counseling: Putting theory and research to work. New Jersey: John Wiley &
Sons
Coombs, W.T. (2007). Protecting
organization reputations during a crisis: The development and application of
situational crisis communicationtheory.Corporate Reputation Review. 10(3):163-176.
Craig, R.T. (1996). Communication theory as a field. New
York: Guilford
Festinger, L. A. (1957). Theory of cognitive dissonance.
Evanston, Ill: Row Peterson
Floyd, K. (2009). Interpersonal communications: the Whole
Story. New york: Mc Graw- Hill.
Gilson, S.F., dan DePoy, E.G. (2011). Human Behavior Theory
and Applications: A Critical Thinking Approach. London: Sage Pub.
LittleJohn, S.W., dan Foss, K.A. (2008). Theories of human
communication. United States: Lyn Uhl.
Marshall. D. (2012). History of the internet: Timeline. Di
capai pada 3mac 2012 di http://www.netvalley.com/archives/
mirrors/davemarsh-timeline-1.htm.
Miller, J. B. (1976). Toward a New Psychology of Women.
Boston: Beacon Press.
Neulip, J.W., dan Grohskop (2000). Intercultural
Communication. UK: St Norbert College
Peace, B.M., Grimes, D., & Jansen, A. (2007). Living
communication. London: Oxford Univ Press.
Pearson, J.C., dan Nelson, P.E. (2000). An introduction to
human communication understanding ang sharing. United States: McGraw – Hill
Higher Education.
Schutz, W. C. (1958).FIRO, A Three-Dimensional Theory
of Interpersonal Behavior. New York: Rinehart & Co Inc.
Smith, S.W., dan Wilson, S.R. (2010). New directions in
interpersonal communication. California: SAGE Publications.
Soterios, Z. The 1982 Tylenol crisis: A landmark case study
in effective public relations. Dicapai pada 2 Mac 2012 di
http://aboutpublicrelations.net/uczoulas1.htm
Thibaut, J. W., and Kelley, H. H. (1959). The Social
Psychology of Groups. New York: John Wiley & Sons.
Walther, J. B. (1996). Computer-mediated communication:
Impersonal, interpersonal, and hyper personal interaction. Communication
Research. 23: 3-43.
Walther, J. B. (2011). Theories of computer mediated
communication and interpersonal relations. In M. L. Knapp & J. A. Daly
(Eds.), The handbook of interpersonal communication (4th ed., pp. 443-479).
Thousand Oaks, CA: Sage.
West, R., Turner, L.H. (2007). Introducing communication
Theory. New York: McGraw Hill.
Comments
I apprесiatе you finԁing the
time anԁ effort to put this content together. I οnce agаin find myѕelf
ѕpendіng a lot of time both reаding anԁ cоmmеnting.
But so what, it was still worth it!
Hеre is my blog ρost :: sonography technician Schools
Also visit my site ... ultrasound technician salary in florida