HORMATILAH NILAI BANGSA: “Melayu tak boleh makan sini”

Berita yang disiarkan Harian Metro pada 9 Feb 08 amat memeranjatkan. Bagi mereka yang selalu makan di restoran ‘Hotel Korek’, sudah pasti terkejut beruk dan rasa amat geram. Ayam tidak disembelih dan makanan dicampur dengan arak dihidangkan pada semua pengunjung atas tiket HALAL. Hukumnya, bagi orang islam yang telah termakan, dimaafkan kerana tidak mengetahuinya atau tidak sengaja. Mungkin di lihat agak ringan iaitu makan ayam yang tidak disembelih dengan makan babi. Mungkin juga ada yang mengatakan, aku kalau terminum arak ok lah juga, kalau termakan babi, aku akan muntah balik. Isu ini bukan baru berlaku tapi kerap sangat berlaku. Kalau masih ingat pada 8 Mac 2005, isu sosej, bebola daging dan burger di galeri makanan sebuah syarikat hiasan dalaman di Damansara. Kita teruja dengan tindakan samak yang diuar-uarkan, sejuk hati dan dengan sendiri memaafkannya. Tidak adapun yang memuntahkan semula sosej dan bebola daging.

Ada banyak persoalan yang perlu di lihat dengan kritis dalam isu ini. Pertamanya, janganlah terlalu mudah percaya dengan sijil atau logo halal yang dipaparkan di dinding atau di cermin gerai makanan. Sijil halal di beri selepas pemeriksaan hari tertentu sahaja. Pengusaha kedai sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan sijil halal. Lihatlah dulu, siapakah pengusahanya?, siapakah tukang masak? . Jangan ambil mudah. Hukum sendiri menetapkan, jika ada keraguan hendaklah dielakkan.

Kedua, Selepas mendapat sijil halal, siapakah yang memantau pelanggaran peraturan sijil halal?. Kalau tidak ada pengunjung yang melaporkan, bagaimana? Terima kasih pada orang yang melapur kepada pihak berwajib. Bahkan ada pengusaha yang sanggup memaparkan sijil halal yang palsu. Kalau ditangkap atas kesalahan tersebut, dendanya bukanlah teruk sangat. Tidak memudaratkan pun.

Ketiga, Sikap hormat pada nilai bangsa telah hilang. Semua bangsa lain di Malaysia mengetahui bahawa bangsa Melayu adalah Islam agamanya. Dan bumiputera ini tidak makan babi, tidak minum arak, makan ayam atau daging yang disembelih mengikut syarak. Tetapi mengapa masih mahu menghidangkan makanan seperti ini pada orang Islam. Dimanakah rasa dan sikap hormat kepada nilai bangsa. Saya teringat semasa di bangku sekolah, saya bermain bola keranjang bersama beberapa rakan dari kaum cina. Selepas bermain, kami akan berehat di Restoran Kam, bapa kepada seorang rakan pemain. Di situ saya hanya dibenarkan minum air liminet (botol) atau air kotak yeos (air tin belum ada). Rakan-rakan saya dan tauke Kam kata, “Melayu tak boleh makan sini”. Saya dan rakan Melayu yang lain amat faham dengan larangan tersebut kerana restoran Kam ada menjual daging babi atau makanan tidak halal. Tetapi hari ini, ke manakah perginya sikap menghormati nilai bangsa macam itu?. Bahkan lebih teruk, menipu lagi. Tidak halal di katakan halal.

Akhir kata, marilah kita menghormati nilai bangsa lain yang juga rakan, jiran, sahabat sekelas, bapa kepada rakan anak kita, dan mereka juga manusia yang ada harga dan nilai bangsa.

P/S di JUSCO Seremban 2, banyak restoran makanan yang tidak menampal sijil atau logo halal.

Comments

Popular Posts