SATU ANJAKAN PARADIGMA ATAU KEBETULAN

Daerah Sik adalah daerah yang terbesar dalam negeri Kedah. Manakala kampung yang terbesar dalam daerah ini ialah Kg Tanjung Besar. Kampung ini secara tidak rasminya dipecahkan kepada dua bahagian iaitu Kg Tanjung Besar, dan Hulu bagi memudahkan orang kampung mengenali penempatan. Tetapi atas peta atau di mata masyarakat luar, ia hanya dikenali sebagai Kg Tanjung Besar. Kampung ini adalah kampung di mana saya lahir dan dibesarkan. Merupakan kubu terkuat BN sejak berabad lalu. Dalam PRU 12 yang lalu, kampung ini telah berubah angin atau mengalami satu anjakan paradigma. Kubu kuat BN yang kukuh berabad, akhirnya pecah juga. Dari pengamatan saya, 99.9% masyarakat di kampung saya berubah angin dengan menyokong parti PAS. Barangkali telah jemu dengan janji wakil rakyat yang tidak pernah di tepati, barangkali telah muak hidup dalam kesempitan sedangkan kampung-kampung di sekeliling telah membangun. Barangkali kerana kampung ini agak terpencil dan jauh dari jalan besar.

Pada kesempatan cuti hari raya Aidilfitri yang lepas, saya kembali ke kampung yang telah agak lama tidak di jenguk iaitu selepas parti PAS menang. Kampung ini telah mengalami satu perubahan baru. Sungguh pun ia hanya perubahan yang kecil tetapi melambangkan sesuatu kepada parti PAS. Jalan masuk ke kampung telah dilebarkan dan di perbaharui. ‘Retak’ atau titi telah diganti dengan titi simen yang baru. Sungguhpun reka bentuknya agak pelik tetapi ia kukuh dan tidak runtuh ketika banjir melanda baru-baru ini. Perubahan ini agak menghairankan saya kerana parti PAS tidak mempunyai dana tetapi masih mampu melakukan perubahan.

Yang paling menakjubkan ialah pengagihan wang zakat kepada fakir miskin. Selama di bawah pemerintahan BN, fakir miskin menerima wang zakat sejumlah RM 150.00. Banyak juga. Tetapi kerajaan negeri di bawah PAS telah membayar wang zakat lebih awal (seminggu sebelum raya) dengan jumlah yang agak besar iaitu antara RM 300.00 – ke RM 500.00. Hairankan?

Jika perkembangan ini berterusan, saya boleh mengagak keputusan pilihan raya pada pilihan raya yang akan datang. Jika BN ingin kembali menawan kampung ini yang pernah menjadi kubu kuat BN, maka BN harus bekerja lebih keras dan serius. Itu pun jika ingin menang. Sedikit pandangan berkaitan usaha BN setakat ini. Apa yang berlaku ialah PM ada melakukan lawatan ke daerah ini tetapi kawasan yang dilawati tidak ramai pengundi dan memang telah menjadi kawasan BN. BN wajar memberi tumpuan kepada kawasan yang mereka tewas.

Comments

Popular Posts