PENGALAMAN BERHARI RAYA DI PERBATASAN


PENGALAMAN BERHARI RAYA DI PERBATASAN
Memulakan tugas sebagai anggota tentera pada tahun 1984 adalah satu masa yang tidak tepat kerana pada ketika itu operasi menentang penggganas komunis rancak dijalankan seperti ‘bertih sedang di goreng’ di beberapa buah kawasan hutan belantara Negara. Dua kawasan yang ‘panas’ ialah sempadan utara Negara (Gubir) dan hutan belantara Negeri Pahang (Pahang Barat). 
Saya telah ditugaskan di Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu yang bertempat di Kem Batu 5, Mentakab, Pahang pada Julai 1986. Ketika saya tiba di Kem Mentakab, kem dalam keadaan lenggang dan kosong kerana semua anggota pasukan sedang beroperasi di hutan. Setelah menerima peralatan pertempuran seperti senjata, pag, pouches dan beberapa peralatan lain lagi, saya terus dihantar ke utara tanah air dengan menaiki keretapi di Stesyen Keretapi Mentakab. Sebaik sahaja tiba di Stesyen Klian Intan, sebuah trak sudah siap menunggu. Trak terus membawa beliau ke gigi hutan di mana terdapat lapan anggota sedang menunggu. Kumpulan tersebut terus membawa Ketua Platun baru mereka ke tengah hutan belantara. Setelah berjalan selama dua hari di dalam hutan, barulah tiba di lokasi kedudukan Platun 6 yang merupakan satu bukit kecil yang di kiri dan kananya terdapat anak sungai yang jernih seperti kristal. 
Pengalaman pertama berhari raya di dalam hutan berlaku 11 hari selepas saya tiba di lokasi Platun 6. Hari Raya Aidilfitri pun menjelang. Pada pagi raya, kami bangun seperti biasa jam 5.30 pagi. Solat subuh dan stand-two. Setelah ronda keselamatan masuk ke pangkalan dan sentry dihantar jauh ke hadapan, masing-masing bergerak perlahan ke punca air untuk mandi dan membasuh. Tiada panggilan telefon, tiada ucapan hari raya kepada kawan atau ahli keluarga. Hanya anggota-anggota platun berjumlah 18 orang. Kami berhari raya di hutan. Kami bersalaman sesama sendiri. 
Oleh kerana lokasi kami terlalu jauh ke tengah hutan dan tarikh ulang bekal masih lambat, maka tidak ada juadah istimewa. Seingat saya juadah yang agak istimewa pada pagi itu ialah Nasi Goreng lebihan semalam di makan dengan ikan lampam jawa goreng (ikan di pancing dari sungai di kanan pangkalan). Ada anggota yang membuat kek nanas iaitu hasil dari biskut keras yang dihancurkan dan dicampur dengan nanas dalam tin. Tak ada teh tarik sebab platun telah ke habisan susu pekat cap junjung. 
Pada pagi raya,Bagi meredakan kesayuan diri sendiri dan anggota-anggota platun, Saya membuat keputusan supaya anggota semua kekal di dalam pangkalan selama dua hari sebagai menghormati hari raya. Tiada rondaan, tiada serang hendap yang dilaksanakan pada hari raya pertama dan kedua. Pada hari raya ketiga, aktiviti operasi berjalan seperti biasa. Seperti tidak ada apa-apa.
Pada pagi hari raya, saya dapati kebanyakan anggota tidak banyak bercakap. Masing-masing berlama didalam khemah masing-masing. Ada yang tidur, ada yang membaca majalah URTV, ada yang sedang meracik akar kayu ubatan, ada yang mencuci senjata, ada yang sedang memberus kasut dan mengemas ikatan ponco. Seingat saya itulah aktiviti yang dilakukan pada pagi raya pertama saya di dalam hutan. Mungkin sebagai satu kaedah merawat kerinduan, kesayuan berhari raya di hutan. 
Pada tengaharinya, agak istimewa, kami beramai-ramai memasak untuk makan tengahari sebagai satu sambutan hari raya. Juadah kami hanyalah ‘cekodok’ ikan bilis, roti canai empat segi, nasi goring dimakan dengan ikan tonggol dalam tin. Ada juga anggota yang membuat kek dengan menggunakan biskut keras tentera. Tengaharinya, kami makan ramai-ramai sambil bersalaman mengucapkan selamat hari raya. Anggota yang sedang berkawal melihat dari jauh di sebalik batang pokok. 
Barang-barang kiriman keluarga dan bekalan untuk hari raya tidak dapat dihantar keranan cuaca hujan yang berpanjangan. Maka penerbangan helikpter NURI ditangguh dari sehari ke sehari. Setelah menunggu selama 8 hari, barulah helicopter NURI Berjaya sampai dan menggugurkan bekalan dengan menggunakan ‘winching’. Maka kami pun berlari ke arah bekalan dan kiriman yang dgugurkan yang telah diisi di dalam guni. Maka selepas itu, dapatlah kami makan kuih baulu, samprit hancur, kuih siput dan rendang. Paling istimewa ialah sambal ikan bilis kerana ia merupakan kiriman wajib yang akan dihantar oleh para isteri kepada suami-suami di dalam hutan. Ini kerana sambal ikan bilis goring ini akan bertahan hampir sebulan. Selebihnya yang istimewa ialah surat-surat cinta si isteri dan kekasih. Pada masa tu saya belum ada kekasih, maka taka da surat cinta untuk saya dan taka da apa-apapun surat sebab tak ada seorang pun dalam keluarga saya yang suka menulis.
Itulah pengalaman pertama saya berhari raya di hutan. Selepas itu saya diarahkan bagi memimpin satu platun khas iaitu Unit Combat Intelligence Squad (UCIS) atau lebih dikenali dengan Platun harimau, maka hari raya di rumah atau di kampong bagi kami anggota-anggota Platun Harimau jangan diimpikan. Kalau berhari raya diluar sekalipun, hati sentiasa tidak senang kerana Platun harimau sentiasa digerakkan tanpa mengira masa dan keadaan. Pernah sekali dalam satu operasi khas, kami anggota platun harimau terlebih puasa dua hari kerana tidak tahu bahawa hari raya telahpun berlalu. Ini kerana kami tidak dibenarkan berhubung melalui radio atau dikenali dengan ‘senyap radio’ sebab sedang menjalankan operasi khas.  
Seingat saya, kalau tidak salah, lebih kurang 4 ke 5 kali berhari raya di hutan dan dua kali berhari raya di kawasan operasi di tepi laut. Selepas berkali-kali berhari raya di hutan dan keluarga tidak lagi bertanya sama ada pulang bercuti atau tidak, saya sudah menjadi terbiasa dan keluargapun seperti sudah memahaminya. Merekapun tidak bertanya lagi. Itulah yang dikatakan ‘DEMI TANAH AIR TERCINTA’. Jangan ditanya apa yang Negara dapat berikan, tanyalah apa yang kamu dapat berikan kepada negara’. Dek kekerapan berhari raya di hutan, ia sudah menjadi seperti satu keseronokan yang sangat unik. Dan setelah komunis menyerah diri pada Dis 1989, kini saya menguja kenangan seperti itu dan menguja juga ketenangan berada di dalam bersih putihnya hutan.
Manakala pengalaman lain pula ialah berhari raya di luar Negara. Tiga kali berhari raya di luar Negara iaitu di New Zealand, India dan London. Pengalaman pertama, Ketika itu saya sedang berkursus di New Zealand. Pada pagi raya, kami ada latihan di kawasan pergunungan. Nak tak nak terpaksa lupakan sambutan hari raya, sy menjalani latihan pada pagi raya dia atas gunung yang sangat sejuk. Seminggu selepas itu iaitu pada hujung minggu, baru lah saya menyambut hari raya di sebuah rumah rakan bersama-sama dengan penuntut dari Brunei dan Indonesia. Kami beramai-ramai memanggang kambing (seekor biri-biri hanya RM80.00 shj) dan menyambut hari raya.
Kini, Pengganas komunis telah menyerah diri dan Negara berada dalam keadaan aman damai. Maka tiada lagi sambutan hari raya di hutan. Kebanyakan hari raya pada masa kini, saya yang dah setahun lebih mengambil alih tugas sebagai Ketua Staf markas 4 Divisyen, Kem Wardieburn  berhari raya bersama sanak saudara. Saya bersyukur kepada Tuhan atas keamanan Negara yang diberikan. Maka, kita rakyat Malayasia harus dan wajib menjaga keamanan yang ada pada hari ini kerana untuk mendapat keamanan hari ini, kita terpaksa mengorbankan beribu nyawa perajurit dan mengorban segala-galanya yang dikatakan ‘jiwa dan raga’. Hargailah dan bersyukurlah dengan apa yang ada pada hari ini di Negara kita.



Comments

Popular Posts