MH 17: APAKAH OPSYEN TINDAKAN YANG KITA ADA?
MH 17: APAKAH OPSYEN TINDAKAN YANG KITA ADA?
Perkara Pertama – Takdir. Takdir yang telah tersurat harus
kita akui dan terima ialah nasib malang yang menimpa MH17 adalah satu tragedi
yang sangat menyedihkan atau disebut dalam ilmu jenayah antarabangsa sebagai ‘horrific
proportions’. Apa pun yang telah berlaku, nasib tersebut terpaksa kita terima,
terpaksa kita telan walaupun ia pahit, malah racun sekalipun dan
cebisan-cebisan daging wajib kita tanam mengikut ritual agama masing-masing.
Tetapi kita mesti buat sesuatu bagi menghukum pihak-pihak yang tidak
bertanggungjawab atau tidak berperi kemanusiaan tanpa mengambil kira faktor
sengaja ataupun tidak sengaja.
Perkara Kedua – Kepentingan dan Maruah. ialah, negara kita mempunyai
kepentingan (rakyat dan MAS) dan maruah yang wajib dijaga. Justeru, setiap kita
iaitu rakyat Malaysia tanpa mengira anda pemimpin atau anda dipimpin, anda
mempunyai rumah atau anda tidur di dalam kotak, apa pun bangsa dan agama anda,
KITA BERHADAPAN DAN MEMPUNYAI TUGAS UNTUK MEMPERTAHANKAN RAKYAT KITA.
Sebelum memikirkan
perkara opsyen tindakan, kita perlu mengetahui Perkara Ketiga – Sedar Siapa Kita. Kita (Malaysia) adalah sebuah negara yang sangat
kecil, memiliki keupayaan ketenteraan yang tidak mendukung prinsip ‘strike back’
kerana kita lebih bersifat mempertahankan, dan kuasa yang sangat terhad dalam
semua aspek (Ekonomi, Ketenteraan, Politik Antarabangsa). Hal ini harus kita
sedar agar opsyen tindakan yang kita pilih tidak tersasar atau ‘syiok sendiri’.
Tetapi ini tidak bermakna kita tidak berdaya langsung atau tidak boleh buat
apa-apa melainkan hanya gah bercakap ‘tong kosong’ atau seperti kata bidalan ‘ayam
berkokok tetapi ekor bergelumang tahi’.
Perkara Keempat – Misi/Objektif/Matlamat. Apakah yang kita inginkan dalam krisis ini adalah isu pertama yang
harus kita jana dan tetapkan sebelum memilih opsyen tindakan. Apakah yang kita
(Malaysia) inginkan? Pada pendapat saya terdapat tiga objektif semasa yang
berjangka pendek iaitu memiliki kotak hitam (dua-dua sekali), memiliki
cebisan-cebisan/anggota badan/mayat rakyat Malaysia dan kebebasan untuk
menyiasat di lokasi kejadian. Manakala objektif jangka panjang ialah membawa
pihak-pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Perkara Kelima – Opsyen Tindakan.
Setelah menyedari semua hal di atas dan menetapkan objektif, opsyen tindakan Malaysia
sangat terhad dan terbatas atas faktor-faktor yang saya nyatakan sebelumnya.
Kita hanya mempunyai dua pilihan iaitu kaedah DIPLOMASI dan kaedah
UNDANG-UNDANG. Walau bagaimanapun kedua-dua kaedah ini tertakluk pertimbangan
geopolitik antarabangsa dan proses melaksanakan undang-undang antarabangsa.
Dalam hal menetapkan opsyen pilihan, kebiasaannya kita tidak mempunyai masalah
kerana rakyat Malaysia sangat cerdik. Tetapi kita bermasalah besar dalam
pelaksanaan dan penguatkuasaan. Masalah ini membelenggu kita dalam semua aspek
kehidupan seharian. Bagaimanakah untuk menjadikan pilihan kepada kejadian MH 17
yang dipilih menjadi sangat efektif dan berjaya di laksanakan. Pertama, setiap
opsyen mestilah disusun dengan teliti dan dirancang pelaksanaannya; kedua membentuk
kesatuan atau kumpulan negara-negara mangsa dan ketiganya mengadakan tekanan
yang bersifat total dan berpanjangan.
a.
Opsyen Diplomasi. Malaysia harus tidak terlibat dalam kemelut Rusia
dan pihak penentangnya. Utamanya, Malaysia tidak boleh memihak kepada mana-mana
kumpulan. Malaysia mungkin boleh meminta simpati negara-negara sahabat seperti
ASEAN bagi bersama-sama memaksa pihak yang terlibat dibawa ke pengadilan. Ataupun
meminta simpati Rusia dan Ukraine bagi mecapai tiga objektif jangka pendek. Jasa-jasa
yang telah kita berikan kepada Rusia dan Ukraine, bolehlah disebut bagi
menguatkan lagi rayuan simpati kita.
b.
Opsyen Kesatuan Negara Mangsa. Negara-negara mangsa harus bersatu
seperti Netherland, Australia dan negara-negara lain yang mana rakyatnya
terlibat. Manakala negara-negara lain boleh juga bersatu tetapi tahap serius
negara mangsa akan menjadi lebih total jika dibandingkan dengan negara-negara
lain. Apakah yang perlu dilakukan oleh kesatuan ini? Pertama, mula mengumpul
semua bukti mulai sekarang. Kedua Menubuhkan badan siasatan sendiri tanpa
menunggu soal siasat antarabangsa yang biasanya akan mengambil masa yang sangat
lama dan ketiganya meminta bantuan PBB bagi memaksa pihak terlibat dan
menubuhkan Tim penyiasat antarabangsa dengan kadar segera. Semua tindakan ini
sangat penting dan genting kerana wujud beberapa persoalan seperti halangan
memasuki kawasan terlibat, kotak hitam dibawa ke satu tempat lain sebelum
dipersetujui untuk diserahkan kepada Malaysia, semua bukti telah dikacau dan
cuba dihilangkan. Semua ini dikatakan telah dilakukan oleh pihak yang
berkepentingan dengan Rusia.
c. Opsyen Undang-Undang. Apakah undang-undang yang ada dan boleh
diguna pakai dalam krisis MH 17? Undang-undang Jenayah Antarabangsa atau International
Criminal Court adalah yang terbaik. Malangnya kita iaitu Malaysia tidak
menandatangani Pengisytiharan Rome Undang-undang Jenayah Antarabangsa. Walau
bagaimanapun kita telah menyatakan dan menunjukkan minat untuk menerimanya
sejak tahun 2011. Maka, hari ini adalah masa yang paling untuk kita tanda
tangan tanda setuju kepada Undang-undang Jenayah Antarabangsa. Dalam krisis
MH17, setakat bukti yang ada menunjukkan Rusia bertanggungjawab. Bukti rakaman yang
di pintas antara tim penembak adalah bukti yang sangat kukuh. Perisikan Amerika
Syarikat mengesahkan misil penembak dan telah dibawa balik ke kawasan yang
dikuasai oleh pihak Rusia. Bahkan pihak Rusia yang telah disahkan telah
membekalkan misil BUK kepada pihak Pro Rusia
dan telah mempertahankan kumpulan tersebut. Bukti yang lebih tepat dan
simbang ialah pihak rebel Ukraine telah mengesahkan bahawa mereka sama sekali
tidak mempunyai misil BUK atau apa-apa misil yang berupaya menembak sehingga
lebih 10km dan mereka sanggup diperiksa.
Saya percaya,
setelah membaca pendapat saya ini, anda harus bersetuju dengan saya kerana itu
sahaja pilihan yang kita ada. Setuju atau tidak, kita perlu berhadapan
dengannya. Berjaya atau tidak opsyen tindakan yang dipilih tertakluk kepada
usaha kita sendiri. Jika kita minat kepada sejarah, kita boleh melihat kejadian
Pesawat penumpang Korea KAL007 yang ditembak oleh jet pejuang Soviet SU-15
Interceptor pada 1 Sep 1983. Adakah kerajaan Korea berjaya mendapat bukti-bukti
yang dikehendaki? Jawapannya TIDAK dan YA. Kerajaan Soviet sama sekali tidak
menyerahkan bukti-bukti yang dikehendaki. Bukti-bukti tersebut hanya diperoleh
setelah kerajaan rejim komunis Soviet runtuh iaitu hampir sembilan tahun
selepas kejadian. Antara tekanan yang dikenakan kepada Soviet ialah pembatalan
lesen pendaratan dan pelepasan Syarikat Penerbangan Soviet iaitu Aeroflot oleh
Amerika Syarikat di mana-mana lapangan terbang dalam AS. Dalam krisis MH 17,
kaedah yang sama boleh dilakukan tetapi siapalah kita. Negara kecilkan. Rusia
tidak terkesan sama sekali jika kita tidak membenarkan kapal terbang mereka
mendarat di KLIA ataupun Langkawi. Ia akan terkesan, jika negara-negara
kesatuan mangsa dan negara-negara sahabat seperti ASEAN dan negara-negara yang
bersimpati bersepakat mengambil tindakan tekanan tersebut. Siapa yang harus
mengetuai tekanan ini? Pada saya ialah ICOA.
Kol Mohd Radzi
Abdul Hamid
Comments